Khamis, 13 Mei 2021

Polis pantau media sosial, kesan individu langgar SOP

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
MOHAMAD Mat Yusop memeriksa surat kebenaran rentas negeri pemandu kenderaan ketika mengadakan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Senawang, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN: Polis akan memantau hantaran di media sosial bagi mengesan mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi hantaran yang dimuat naik individu terbabit.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia juga bagi mengelakkan orang ramai mengambil peluang ziarah-menziarahi jiran tetangga di kawasan berdekatan.

“Kami memantau hantaran yang di muat naik di sosial sekiranya ada antara mereka yang melanggar SOP sempena Hari Raya Aidilfitri. Kami tidak mahu mereka mengambil peluang untuk menziarah jiran atau keluarga.

“Bagaimanapun, hasil laporan daripada anggota saya mereka melihat tahap pematuhan rakyat di negeri ini tinggi dan saya tidak menerima mana-mana laporan mengenai SOP semasa solat sunat Aidilfitri setakat 10 pagi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Senawang hari ini.

Sementara itu, menurut Mohamad, pihaknya juga melihat terdapat penurunan pergerakan kenderaan di jalan raya di negeri ini.

“Setakat 10 pagi ini, kami melihat keadaan mula lenggang dan terkawal dan berharap sekiranya ada mana-mana rakyat di luar dari Seremban yang mahu ke daerah ini perlu mendapatkan kebenaran polis,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihak polis akan memantau rumah ke rumah bagi mengelakkan aktiviti ziarah-menziarahi sempena satu Syawal hari ini.

“Saya mempunyai lebih 160 pemantau yang akan memantau kawasan perumahan terutama taman-taman yang di negeri ini bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.  UTUSAN

Tiada ulasan: