Isnin, 3 Mei 2021

Pertimbangkan rentas negeri sempena Aidilfitri khususnya di kawasan hijau

Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
 
Dr. Kamarul Azman Khamis

ARAU : Keluhan rakyat yang sudah lama tidak bertemu keluarga atau ibu bapa di kampung halaman perlu diberi perhatian oleh kerajaan dengan mempertimbangkan agar pergerakan rentas negeri sempena Hari Raya Aidilfitri dibenarkan khususnya membabitkan perjalanan pulang ke kawasan hijau.

Malah, di laman-laman sosial ketika ini hangat dengan keluhan serta rintihan orang ramai yang mengakui cukup merindui ibu bapa termasuk ada dalam kalangan mereka meluahkan sudah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung berikutan Covid-19.

Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, kerajaan mungkin boleh memberi sedikit kelonggaran bagi perjalanan merentas negeri khususnya di kawasan hijau.

Namun katanya, mereka yang ingin melakukan perjalanan tersebut perlu terlebih dahulu menjalani ujian calitan Covid-19.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan juga boleh menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk tujuan tersebut.

“Kasihan melihat rintihan orang ramai yang sudah terlalu lama tidak dapat pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa. Aidilfitri tahun lalu, perjalanan merentas negeri tidak dibenarkan dan apa kata tahun ini diberi sedikit kelonggaran.

“Apa yang penting, orang ramai juga perlu
bertanggungjawab dan memainkan peranan dengan mematuhi SOP ditetapkan khususnya daripada segi penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan bahawa aktiviti merentasi negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung mungkin tidak dibenarkan.

Sehubungan itu, Ismail berharap rakyat akur dengan arahan kerajaan sekiranya mereka tidak dibenarkan melakukan perjalanan merentas negeri pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Ismail dilaporkan berkata, keputusan larangan itu sekiranya dibuat adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada dijangkiti Covid-19.

Mengulas lanjut, Kamarul Azman berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan memberi kebenaran kepada mereka untuk pulang menziarahi ibu bapa yang uzur.

“Permudahkan urusan bagi kes seperti menziarahi ibu bapa yang uzur, kematian dan sebagainya. Apabila dibenarkan pulang SOP perlu sentiasa dipatuhi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: