Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Perlis kini berstatus zon merah setelah mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya dengan sebanyak lapan kes positif dicatatkan hari ini.
Dalam kenyataan sama, jabatan tersebut menyeru penduduk di negeri ini untuk terus berwaspada dan meningkatkan kawalan kendiri.
Katanya, sebanyak lapan kes dicatatkan hari ini yang mana tujuh merupakan jangkitan tempatan manakala satu lagi kes import B.
“Jangkitan tempatan melibatkan kes 429 di Mukim Sena yang merupakan kontak rapat kepada kes positif iaitu kes 401 iaitu anak yang dikesan melalui saringan individu disyaki Covid-19.
“Manakala kes 430 dari mukim sama juga kontak rapat kepada kes 401 iaitu rakan sekerja,” kata kenyataan itu.
Ujarnya, sementara itu, kes 431 dan 432 dari Mukim Utan Aji merupakan pasangan suami isteri yang dikesan melalui saringan individu bergejala.
“Kes ini pula dikesan menjangkiti ahli keluarga mereka iaitu pasangan suami isteri bagi kes 433 dan 434 di Mukim Kuala Perlis.
“Selain itu, kes 435 di Mukim Sanglang juga kes dikesan melalui saringan kontak rapat kepada kes 431 dan 432 yang juga merupakan ahli keluarga yang sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu, kes 436 dari Mukim Arau merupakan kes import B yang dikesan melalui saringan kontak rapat kepada rakan sekerja di Sungai Petani, Kedah yang disyaki Covid-19.
Jabatan Kesihatan negeri turut mengingatkan rakyat negeri ini untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard tidak kira di mana mereka berada serta membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera. – K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan