Ahad, 23 Mei 2021

PADA HARI INI dalam tahun 1928, berlaku satu pertempuran yang sengit di antara kumpulan penentang-penentang pentadbiran British di Terengganu dengan pasukan kerajaan.

Pasukan penentang ini terdiri daripada beberapa kumpulan yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Abdul Hamid. Beliau lebih dikenali sebagai Lebai Deraman, atau Haji Abdul Rahman Limbong atau Tok Janggut, dari Kampung Alur Limbat. Pemimpin-pemimpin lain dalam kumpulan tersebut ialah  Mat Zain bin Mat Min dari Telemung dan Haji Zakaria.

Mereka yang seramai kira-kira seribu orang ini bergerak dari Kampung Pelam, Telemung menuju ke Kuala Terengganu. Masing-masing bersenjatakan keris, parang dan lembing.

Pasukan kerajaan pula terdiri daripada Datuk Dalam, Datuk Pahlawan dan pasukan polis yang diketuai oleh Sub-Inspektor Tengku Abdullah. Mereka dipimpin oleh Datuk Seri Lela Di Raja Abdul Rahman bin Ishak.

Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid atau 
dikenali juga sebagai Lebai Deraman, atau Haji 
Abdul Rahman Limbong atau Tok Janggut.

Mengapa penentangan ini berlaku?

Ia tercetus kerana penduduk-penduduk tempatan berasa marah dengan campur tangan British  dalam pentadbiran negeri Terengganu, dan memperkenalkan pelbagai peraturan baru yang tidak munasabah serta membebankan.

Antaranya, mewajibkan rakyat mempunyai surat izin untuk membuat huma, menebang pokok, membuka tanah, malah mengambil daun untuk membuat atap.

Di samping itu dikenakan juga cukai hasil tanah dan pendapatan tanah serta menyekat rakyat daripada memburu haiwan liar. Peraturan-peraturan ini menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan beberapa orang pemimpin tempatan, terutama Penghulu, tuan tanah dan tokoh-tokoh agama.

Pengaruh mereka dalam penentangan tersebut cukup jelas. Ini dapat dilihat dalam banyak kejadian, antaranya pada bulan Mac 1928, di mana kedatangan pemungut-pemungut cukai dijawab dengan keras oleh penduduk Kampung Tengkawang, dengan berkata “Kami tidak mahu membayar cukai tanah kerana tanah-tanah kami ini dipunyai oleh Haji Abdul Rahman!”

Dalam kejadian yang lain pada 20 April 1928 di Kampung Penjing pula, tiga orang mata-mata Melayu yang hendak menyampaikan surat saman kepada penduduk kampung kerana menebang pokok-pokok kayu tanpa mendapat kebenaran, telah diserang oleh orang-orang kampung sambil menjerit… “Bunuh orang-orang yang menyebelahi orang kafir itu!”, “Tembak pengikut-pengikut orang kafir itu!”

Bagi kumpulan penentang pentadbiran British ini, peraturan-peraturan tersebut adalah campur tangan yang sangat tidak munasabah kerana mereka sudah sekian lama melakukannya tanpa sebarang sekatan dan perlu membayar cukai. Apatah lagi usaha itu dilakukan di tanah pusaka, tanah terbiar, tiada pemilik serta hutan belantara.

Kata mereka, ini tanah orang Melayu Terengganu, apa hak British datang dan campur tangan, kemudian mengutip cukai? Penentangan-penentangan itu terus merebak hingga akhirnya pertempuran antara kedua-dua pihak tidak dapat dielakkan lagi.

Dalam pertempuran di Padang Kachong itu, seramai 11 orang daripada pihak penentang telah terkorban dan ramai yang lain cedera. Berita kematian dan kekalahan di Padang Kachong ini telah menyebabkan kumpulan-kumpulan penentang yang lain berundur dan bersurai.

Berikutan daripada itu juga ramai daripada para pemimpinnya ditangkap dan ada yang menyerah diri. Mereka ialah Jusoh Hitam, Penghulu Umar, Mat Zain Telemung, Ismail Kuah Por, Abu Bakar Genting, Abdullah Jurukaka, Haji Zakaria, Engku Mat Kuala Puih, Haji Tahir Gunung, Mamat Tok Pitas, Che Leh bin Haji Abdul Rahman, Penghulu Saleh, Sayyid Alsagof serta Haji Abdul Rahman Limbong sendiri.

Gambar hiasan : Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Pada 11 Jun 1928 berlangsunglah perbicaraan ke atas mereka di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Pemimpin-pemimpin gerakan penentangan itu telah dihukum penjara di antara lima hingga 15 tahun. Bagaimanapun Che Leh bin Haji Abdul Rahman dan Penghulu Saleh didapati tidak bersalah. Haji Abdul Rahman pula telah didapati sah menjadi penggerak utama penentangan di Ulu Terengganu itu.

Mereka yang didapati bersalah telah dipenjarakan di Singapura tetapi dibebaskan dua tahun kemudian dengan ihsan baginda Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Haji Abdul Rahman tidak dipenjarakan tetapi diperintah oleh baginda Sultan agar keluar dari negeri Terengganu dan hidup di Mekah. Bagi menampung kehidupannya di sana, kerajaan Terengganu memberikan wang sara hidup sebanyak 50 pound tiap-tiap bulan.

Namun hayat Haji Abdul Rahman Limbong tidak panjang. Beliau meninggal dunia di Meka kira-kira setahun setengah kemudian, iaitu pada November 1929.

Sejak tertangkap dan terhukumnya pemimpin-pemimpin penentangan itu tadi, pemberontakan terhadap campur tangan British dalam pentadbiran negeri Terengganu juga dengan sendirinya berakhir.

Tiada ulasan: