LUMUT: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung atas tuduhan mencederakan anggota Rela yang sedang bertugas, Sabtu lalu.
Tertuduh, Yeap Sen Sing, 52, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Sen Sing didakwa mencederakan seorang penjawat awam iaitu anggota Rela, Hong Koh Hwa, 46, yang sedang menjalankan tugasan rasminya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pasar Awam Looking Good, Kampung Koh, Sitiawan, pada pukul 6.40 pagi pada 15 Mei lalu.
Dia dituduh di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret A. Hafiizh Abu Bakar menetapkan 21 Jun depan untuk kes itu disebut semula bagi pelantikan peguam dan penyerahan dokumen berkaitan, serta menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Khazrin Haffiz menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana menanggung seorang isteri dan dua anak. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan