Rabu, 19 Mei 2021

Empat lelaki dikompaun langgar SOP di Port Dickson

 Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

PEMANDANGAN sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan yang lengang dan tiada pengunjung beriadah ekoran pelaksanaan PKP di seluruh negara serta penguatkuasaan larangan rentas daerah dan negeri bagi mengekang penularan Covid-19. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON: Empat lelaki dikenakan kompaun di sekitar pantai di sini selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kompaun tersebut dikeluarkan pasukan Task Force SOP PKP dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Beliau berkata, kesemua kompaun tersebut dikenakan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.

“Dua kompaun dikeluarkan di Pantai Seri Kemang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka. Masing-masing berusia 21 tahun dan 25 tahun.

“Kompaun ketiga dikeluarkan kepada pemuda berumur 33 tahun di kawasan parkir Pantai Dataran Kemang kerana merentas dari Seremban ke Port Dickson tanpa surat kebenaran rentas daripada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, seorang lagi individu berusia 29 tahun dari Sungai Udang, Melaka pula dikompaun di Pantai Cahaya Negeri, di sini kerana merentas tanpa kebenaran.

“Kompaun sebanyak RM1,500 dikenakan untuk kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala RM 5,000 dikenakan bagi kesalahan rentas tanpa surat kebenaran.

“Polis, khususnya IPD Port Dickson memandang serius sebarang pelanggaran SOP PKP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP MKN sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: