Selasa, 4 Mei 2021

Mayat wanita separuh bogel ada kesan cedera

Oleh MOHD YUNUS YAKKUB

Pasukan bomba sedang membawa keluar mayat wanita yang ditemui terapung di tepi Sungai Rambai, Bestari Jaya pada Jumaat lalu.

KUALA SELANGOR – Mayat seorang wanita yang ditemui dalam keadaan separuh bogel di tepi sungai Rambai, Bestari Jaya di sini, Jumaat lalu didapati mempunyai kesan kecederaan pada fizikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penemuan tersebut hasil bedah siasat dijalankan terhadap mayat di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati mayat telah meninggal dunia lebih 48 jam dan merupakan warga tempatan berikutan terdapat suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG).

Mayat itu terlebih dahulu ditemui orang awam kira-kira pukul 7.30 petang dalam keadaan terapung di tepi tebing sungai, Sungai Rambai, Bestari Jaya dalam sebuah kebun kelapa sawit dengan jarak satu kilometer dari Jalan Rawang, Bestari Jaya.

“Hasil semakan awal mendapati mangsa berpakaian baju kemeja berwarna ungu kemerahan atau maroon dengan berseluar jeans.

“Bagaimanapun, baju mangsa didapati dalam keadaan hampir tercabut dan berada dalam keadaan separuh bogel,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau menjelaskan hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh kira-kira pukul 10.30 pagi tadi mendapati terdapat kesan kecederaan pada fizikal mangsa.

Justeru, Ramli menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

“Orang ramai atau keluarga yang kehilangan ahli keluarganya boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd. Sufian Amin di talian 012-614 9580 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: