Selasa, 4 Mei 2021

Pemuda ISMA lapor polis ada pihak hasut murid mogok ke sekolah

 ainulillia

Tolak gangguan seksual dengan ponteng sekolah tindakan tak berilmu

BANGI – Timbalan Pemuda ISMA, Asmadi Abdul Samad membuat laporan polis berikutan terdapat pihak yang cuba menghasut murid sekolah untuk melancarkan mogok dan protes. 

Laporan polis berkenaan dibuat petang Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan sudah dipanggil untuk memberi keterangan, malam tadi. 

Terdahulu, gabungan aktivis dikenali sebagai NSWD Alliance meminta pelajar dan guru membantah budaya rogol dan gangguan seksual dengan tidak hadir ke sekolah selama sehari sama ada pada 6 atau 7 Mei.

Permintaan itu adalah sebagai sebahagian daripada kempen #MakeSchoolASaferPlace.

“Sebagai bantahan melalui satu peristiwa terbaharu #MakeSchoolASaferPlace, kami menganjurkan #NationalSchoolWalkoutDay (NSWD) untuk menuntut perubahan di sekolah,” katanya seperti dilaporkan oleh The Star. 

Asmadi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Asmadi mengakui tidak boleh bersabar dengan kebiadapan kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam menghasut murid sekolah untuk melancarkan mogok dan protes di sekolah.

Sebagai guru sekolah, katanya, beliau mahu sentiasa melindungi anak didik daripada anasir yang tidak sihat dan merosakkan pemikiran mereka.

“Menolak gangguan seksual dengan ponteng sekolah. Melawan keburukan dengan membina keburukan yang lain. Ini bukan tindakan orang berilmu. Yang pasti ini juga bukan apa yang diajar dalam Islam.

“Justeru, laporan polis dibuat, memberikan isyarat yang jelas, terang dan nyata kepada kelompok-kelompok radikal di luar sana. Jangan usik permata hati kami,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Isu tercetus apabila seorang pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam mendedahkan mengenai perbuatan seorang guru lelaki yang berjenaka mengenai jenayah rogol.

Perkara itu mendapat perhatian ramai pihak malah Ain kemudiannya turut berdepan dengan ugutan ‘rogol’ terhadap dirinya oleh salah seorang pelajar lelaki di sekolahnya.

Tidak kurang juga warga net yang meninggalkan komen tidak senonoh dan jelek terhadapnya kerana mendedahkan isu itu.

Walhal, Ain menegaskan bahawa dia mendedahkan isu tersebut sebagai langkah mengelak kejadian sama berulang lagi ketika sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat buat pelajar.

Mengenai protes NSWD, Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab tidak bersetuju ia dianjurkan kerana bimbang akan mengundang lebih banyak aspek negatif, malah boleh menyuntik sikap memberontak terhadap pelajar secara tidak langsung.

Saiful Nizam seperti dilapor MalaysiaKini berkata, bukan menjadi matlamat mereka untuk menyebarkan rasa benci sebaliknya menginginkan perubahan. 

“Perbuatan mencaci pihak sekolah hanya meletakkan orang ramai bersikap sama seperti pihak yang mereka tentang,” katanya.

Tiada ulasan: