Rabu, 5 Mei 2021

Mayat bayi lelaki dihurung semut

Mayat bayi lelaki ditemui oleh pengawal keselamatan wanita di tepi Jejantas Jalan Jepun Kampung Delek Muhamad Yamin dalam keadaan dihurung semut. - Foto ihsan pembaca
Mayat bayi lelaki ditemui oleh pengawal keselamatan wanita di tepi Jejantas Jalan Jepun Kampung Delek Muhamad Yamin dalam keadaan dihurung semut. - Foto ihsan pembaca

KLANG: Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai ditinggalkan sejak dua hari lalu ditemui di tepi Jejantas Jalan Jepun Kampung Delek Taman Muhamad Yamin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang dalam keadaan dihurung semut itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan wanita berumur 22 tahun.

"Kira-kira jam 6.12 petang itu, polis menerima aduan oleh seorang wanita yang menemui mayat seorang bayi di tepi jejantas berkenaan.

"Menurut wanita itu, dia menjumpai mayat bayi berkenaan dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Sungai Sireh dari tempat kerja di Sungai Jati.

"Pada awalnya, wanita terbabit nampak sepasang suami isteri berada di lokasi, dan memberitahu ada mayat bayi, tetapi tidak menghubungi polis, lalu wanita itu menghubungi MERS 999 memaklumkan penemuan mayat bayi itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan mendapati, tempat kejadian adalah bahagian bawah jejantas motorsikal Jalan Jepun di tepi landasan kereta api.

"Jarak kawasan perumahan dengan tempat kejadian adalah 100 meter dan jarak dari landasan kereta api kira-kira 10 meter," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kesan kecederaan ketika pemerikaan awal pada tubuh badan bayi itu dilakukan.

"Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang hadir ke tempat kejadian mendapati bayi lelaki cukup sifat, panjang anggaran kurang dari dua kaki bertali pusat.

"Bayi itu dijangka dibuang ke lokasi kejadian sekitar dua hari dengan keadaan dihurung semut.

"Polis juga masih menyiasat sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal ketika ditinggalkan di situ," katanya.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat pada jam 2 petang hari ini.

Pada masa sama katanya, siasatan dan usaha mengesan suspek diteruskan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: