Ahad, 16 Mei 2021

Mayat bapa ditemui selepas 29 jam tenggelam

 Oleh ROHANA MOHD. NAWI

Anggota bomba membawa mayat Mohd. Zalmizi yang terjatuh ketika menguji jet ski bersama anaknya ke jeti untuk diserahkan kepada pihak polis.

BACHOK – Selepas 29 jam hilang, mayat Mohd. Zalmizi Hashim, 37, yang hilang ketika menguji jet ski di Sungai Pangkalan Baru di sini kelmarin ditemui sebentar tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, mangsa ditemui kira-kira pukul 10.35 malam iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya Mohd.Firas Naufal, 4, yang dijumpai pada pukul 9.04 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang mencari di sekitar kawasan pokok nipah sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

“Anggota bomba membawa mayat mangsa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mulai malam ini, operasi mencari dan menyelamat ditutup sepenuhnya selepas kedua-dua mangsa berjaya ditemui,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Kosmo! Online semalam melaporkan dua beranak dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mereka sedang menguji jet ski yang baru dibeli Rabu lalu di Sungai Pangkalan Baru di sini.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu disedari selepas, Mohd.Zalmizi dan Mohd.Firas Naufal tidak muncul semula selepas menguji jet ski yang dibelinya pada harga RM13,000.-K! ONLINE

Tiada ulasan: