Sabtu, 15 Mei 2021

Kematian Haziq akibat jantung, tiada bukti kaitan vaksin – KKM

Kematian Haziq akibat masalah saluran jantung seperti dimaklumkan pakar forensik KKM./ Gambar FB KBS

MASALAH besar di Malaysia adalah penyebaran cerita yang bukan-bukan sampai mendahului pihak berkuasa.

Ini seperti berita kematian mengejut pemanah negara, Haziq Kamaruddin awal pagi semalam.

Atlet Olimpik berusia 27 tahun itu rebah selepas selesai subuh dan sepantas kilat juga di media sosial ada yang cuba mengaitkan dengan vaksin yang diterima Allahyarham.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan hingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian Haziq berkait langsung dengan vaksinasi COVID-19.

Sebaliknya kenyataan KKM yang memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensinya, Datuk Dr Zahari Noor, kematian Haziq adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.

“Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Walau bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal,” kata Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik itu.

Haziq pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 dan sedang memburu tempat untuk ke Olimpik Tokyo tahun ini.

Allahyarham dilaporkan rebah di rumahnya pada kira-kira jam 8 pagi semalam, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 1.40 pagi tadi selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kajang malam tadi.

Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terlibat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada 4 Mei lalu.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina.

Allahyarham juga meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Tiada ulasan: