Ahad, 23 Mei 2021

Maritim Malaysia rampas 350 kilogram ketum

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
MARITIM Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 350 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM63,000 di persisiran pantai muara Kuala Perlis, semalam.

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 350 kilogram daun ketum ke Thailand bernilai kira-kira RM63,000 di pesisiran pantai muara Kuala Perlis di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, bertindak berdasarkan maklumat risikan, pihaknya mengatur gerak pasukan operasi ke sekitar lokasi dan telah mengesan dua suspek mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan sedang keluar dari Kuala Sanglang di sini menuju ke arah sempadan Thailand sekitar pukul 6.30 petang.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan ke daratan berhampiran dan terjun ke laut meninggalkan bot serta berenang melarikan diri ke hutan bakau berlumpur berhampiran.

“Suspek menggunakan bot enjin sangkut bergalah bagi mengelakkan bot ronda Maritim Malaysia daripada menghampiri mereka di kawasan cetek. Sifat geografi perairan yang cetek dan berlumpur menyukarkan bot penguat kuasa Maritim Malaysia untuk akses ke kawasan paya bakau sekitar.

“Suspek turut menggunakan dua bot sebagai helah bagi mengelirukan penguat kuasa, namun gagal apabila Maritim Malaysia berjaya mengejar bot yang membawa ketum itu.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan telah menemukan enam guni putih serta 23 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum. Nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot dan enjin adalah sekitar RM70,000 dan daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia mengenal pasti modus operandi terbaharu penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran iaitu menggunakan bot kayu enjin sangkut bergalah menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan negara jiran itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: