Ahad, 23 Mei 2021

Beberapa negeri mohon bina Field ICU ATM

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
DR. NOOR HISHAM Abdullah meninjau persediaan di Field ICU ATM di HKB, Pulau Pinang yang dijangka menerima pesakit Covid-19 pertama Selasa ini. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

KEPALA BATAS: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima permohonan dari negeri-negeri lain untuk menubuhkan Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan melihat dari segi keperluan untuk menambah bilangan hospital tersebut selain meninjau jika masih ada ruang dan lokasi yang sesuai bagi tujuan tersebut.

“Kita ketika ini masih menghadapi masalah kekurangan terutama dari segi petugas kesihatan dan sebagainya.

“Jadi, kita buka peluang kepada mana-mana pihak swasta atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk membantu apa yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan teknikal ke Field ICU ATM di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi.

Tambah Noor Hisham, orang ramai juga boleh membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19 dengan duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika ini.

Sementara itu, Mohd. Zakaria berkata, sesi ujian atau ‘dry run’ penuh akan dijalankan di Field ICU ATM di HKB berkenaan esok selepas pesakit pertama dijangka diterima Selasa ini.

“Kita baru sahaja menerima pengesahan daripada bomba dan agensi kawalan penyakit (Unit Kawalan Penyakit Berjangkit) untuk memulakan operasi dan pagi Selasa ini kita akan mula menerima pesakit,” katanya.

Sebanyak 27 buah katil ditempatkan di tiga daripada empat buah kontena yang terdapat di situ dengan kekuatan kira-kira lima pegawai serta tiga anggota perubatan.

Selain Field ICU yang dibina di Pulau Pinang, hospital medan juga telah dibina di tiga buah negeri lain ketika ini iaitu Sabah, Sarawak dan Kedah.

Ditanya mengenai keperluan menambah hospital itu bagi membantu merawat mangsa Covid-19, kata Zakaria, ia bergantung kepada permohonan yang dibuat.

“Pada masa sama, kita juga akan lihat dari segi keperluan semasa serta aset yang ada ketika ini untuk tujuan itu,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: