Sabtu, 15 Mei 2021

Malaysia terus hulur bantuan kepada Palestin

azrulhakimie

Ulangi pendirian konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan mereka

KUALA LUMPUR– Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian berprinsip Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya dari segi politik, ekonomi dan moral.

Beliau berkata melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar, Malaysia menyumbang sebanyak US$10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun lepas yang disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain bantuan kemanusiaan, beliau berkata Malaysia turut menghulurkan bantuan bagi membantu Palestin membendung pandemik COVID-19.

“Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan iaitu sejuta pelitup muka, 500,000 pelindung muka dan 500,000 sarung tangan getah. Sumbangan tersebut dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Mengenai Palestin yang disiarkan secara langsung oleh Bernama TV dan stesen TV tempatan lain, hari ini. – Bernama

Tiada ulasan: