Rabu, 5 Mei 2021

Hampir 30 lorong tikus di sempadan Besut-Kelantan

 Oleh ROSALINDA MD SAID

Roslee Chik

KUALA TERENGGANU: Polis mengenal pasti sebanyak 28 lorong tikus di sempadan Besut-Kelantan yang dipercayai digunakan penduduk untuk merentas negeri secara tidak sah.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, jumlah itu meningkat kepada 13 laluan berbanding hanya 15 laluan yang dikesan sebelum ini.

Tegasnya, kawalan lebih ketat dilakukan di kesemua lorong tikus berkenaan bagi menghalang aktiviti keluar masuk penduduk dalam situasi Covid-19 yang makin meningkat terutama di Besut.

“Pada awalnya cuma ada 15 lorong tikus dan selepas disekat dengan kawat besi, mereka buka laluan baharu dengan kini, jumlahnya meningkat menjadi 28 laluan.

“Saya memberi amaran kepada masyarakat di sana supaya patuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, malah mereka yang dikesan memotong kawat besi akan dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, laluan tikus yang banyak di sempadan Besut-Kelantan menyukarkan pengawalan Covid-19 di daerah Besut.

Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, selain sekatan jalan raya, rondaan turut dilakukan di lokasi-lokasi laluan tikus. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: