Rabu, 26 Mei 2021

Cari internet, PdPR tepi sungai

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
MUHAMMAD Khairul Adib (kiri) bersama rakannya, Muhammad Ali Aidil Muqhris (dua dari kiri) memuat turun modul PdPR manakala Shahrul Nizam (kanan) terpaksa melayari internet di tepi Sungai Jimah, Port Dickson pada waktu malam kerana capaian dan liputan internet yang lemah di kampung mereka.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON: Isu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukan hanya tentang masalah peranti atau gajet tetapi mengenai tahap capaian dan liputan internet yang lemah.

Itu yang dialami penduduk Kampung Jimah Lama di sini, tidak terkecuali golongan pelajar yang perlu mengikuti proses PdPR ekoran penutupan sesi persekolahan bersemuka.

Ekoran masalah itu, pelajar-pelajar di kampung tersebut lazimnya ke tepi sungai dan berkumpul di jambatan pada waktu malam bagi memuat turun modul pembelajaran mereka.

Dakwa mereka, capaian dan liputan internet di kawasan itu pada waktu malam adalah lebih baik berbanding siang hari.

Seorang pelajar yang ditemui, Muhammad Khairul Adib Rosli, 14 berkata, dia sering ke tepi sungai berkenaan hampir setiap malam untuk memuat naik sebarang modul yang diberikan guru bagi sesi PdPR.

“Saya sering ke sini bersama rakan atau kadangkala seorang diri. Di kawasan ini sahaja internet baik dan boleh menghubungi kawan atau saudara mara.

“Di rumah, memang saya tidak dapat mengakses internet atau kadangkala terputus tiba-tiba. Memang sukar apatah lagi untuk memuat turun modul yang diberikan guru,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Othman Shamsudddin pula berkata, ketiadaan internet di kampung mereka bukan sahaja menyukarkan pelajar namun penduduk lain.

Jelas beliau, terdapat sebuah menara teekomunikasi di kampung berkenaan namun ia tidak berfungsi sejak tiga tahun lalu.

“Sejak tiga tahun lalu memang tiada internet di kampung ini. Kami pernah mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab namun tiada maklum balas sehingga terpaksa mencari capaian internet di atas jambatan atau tepi Sungai Jimah.

“Saya kasihan kepada anak-anak yang sedang bersekolah di kampung ini, mereka terpaksa keluar mencari capaian internet di luar rumah mereka untuk memuat naik modul PdPR yang diberi. Saya bimbang lebih-lebih sekarang negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi risiko kepada mereka kerana terpaksa keluar rumah,” katanya lagi.

Menurutnya, golongan pelajar biasanya berada tepi sungai berkenaan sekitar pukul 8 hingga 9 malam.

“Saya harap ada pihak yang berwajib dapat membantu kampung ini mendapatkan internet, menara komunikasi sudah ada namun tidak berfungsi. Ada menara yang terletak lebih tujuh kilometer dari sini di atas sebuah bukit namun sekadar tenggelam timbul sahaja liputannya,” katanya yang turut memberitahu terdapat kira-kira 800 penduduk tinggal di kampung berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: