KANGAR: Demi memiliki seunit telefon pintar bagi kemudahan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak tahun lalu, seorang remaja sanggup mengambil upah melakukan kerja-kerja di sawah untuk mengumpul duit membeli peranti tersebut.
Daniel Hakim Mohd Zaki, 17, dari Kampung Sungai Padang, Simpang Empat di sini yang sudah biasa dengan suasana ‘bendang’ sejak kecil, melakukan kerja-kerja di sawah itu bersama bapa saudaranya.
Selain melakukan kerja-kerja seperti memikul benih serta baja, Daniel Hakim juga membantu mengemudi mesin bajak.
Hasil penat lelahnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dapat mengumpul duit bagi membeli seunit telefon pintar berharga RM500 tahun lalu, sekali gus memudahkannya mengikuti proses PdPR.
“Bila saya beli telefon sendiri, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terutama apabila PdPR dilaksanakan.
“Malah, saya juga tidak perlu berkongsi peranti itu dengan adik-adik yang lain apabila mengikuti proses tersebut.
“Upah yang saya dapat itu bergantung kepada hasil yang diperoleh bagi musim itu. Kalau dapat banyak maka banyak juga upah yang diterima,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, ibunya, Zuraidah Pin, 42, berkata, dia bersyukur kerana anak sulung daripada lima beradik itu cukup berdikari dengan sanggup berusaha sendiri jika ingin mendapatkan sesuatu.
Kata suri rumah itu, selain Daniel Hakim, anak keduanya, Daniel Hafiz,13, juga mempunyai telefon pintar sendiri dibeli hasil daripada duit bantuan persekolahan yang dikumpulnya, sekali gus membantu memudahkan proses PdPR.
“Sekarang anak-anak banyak belajar menggunakan telefon, jadi lebih baik masing-masing mempunyai telefon sendiri.
“Bagi dua lagi anak saya yang tahun empat dan dua itu, mereka belajar secara dalam talian menggunakan telefon pintar saya.
“Memang tak mampu kalau mahu beli telefon dan data untuk semua
(anak-anak). Saya juga sentiasa memantau ketika proses pembelajaran
itu,” katanya.UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan