Rabu, 12 Mei 2021

Berdosa, jenayah syarak ingkar SOP Covid-19 -Mufti

 Oleh SAFINA RAMLI

Wan Salim Wan Mohd. Noor

GEORGETOWN: Umat Islam yang ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 seperti cuba merentas negeri telah melakukan satu jenayah syarak dan perbuatan itu adalah berdosa.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, ini kerana mengikut fatwa rasmi yang dikeluarkan oleh institusi-institusi kefatwaan termasuk di Mesir dan Arab Saudi, umat Islam adalah wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang bertujuan untuk mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Perlu diingatkan agama Islam amat prihatin terhadap kesihatan awam dan menggalakkan diambil langkah-langkah pencegahan sebagai cara paling berkesan dalam menyekat merebaknya sesuatu penyakit atau membatasinya dalam kawasan tertentu sahaja,” katanya di sini hari ini.

PKP dilaksana di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa Rabu ini termasuk tidak dibenarkan merentas negeri dan daerah.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, terdapat banyak nusus atau dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis yang melarang perhimpunan yang mencampurkan antara para pesakit dan mereka yang sihat.

“Malah, untuk menghalang jangkitan penyakit dan wabak, maka, solat Jumaat dan solat berjemaah boleh atau harus ditangguhkan buat sementara sehingga keadaan pulih dan kembali normal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengeratkan silaturahim ketika Hari Raya Aidilfitri tidak hanya terhad kepada amalan ziarah sahaja.

“Kemajuan peralatan komunikasi dan teknologi maklumat zaman kini memudahkan ahli-ahli keluarga dan kenalan berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau, para ulama di negara-negara Asia Barat juga telah memfatwakan tanpa menziarahi ibu bapa dalam tempoh penularan wabak sekarang tidak dianggap menderhaka terhadap kedua-duanya.

“Malah, sebaliknya Islam tidak mengharuskan penganutnya mendedahkan diri sendiri, anak-anak dan anggota keluarga kepada bahaya termasuk jangkitan penyakit.

“Menziarah ibu bapa dan keluarga dalam suasana sebegini boleh menyebabkan penyakit berpindah kepada mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: