Rabu, 5 Mei 2021

Bantuan Aidilfitri untuk Orang Asli

Oleh AIMUNI TUAN LAH
MASJID Tengku Muhammad Fa-Iz Petra menjadi pusat pengumpulan barangan makanan sebelum dihantar ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sejumlah RM800,000 bagi menyediakan bakul makanan kepada 4,400 keluarga Orang Asli di Kelantan sempena Aidilfitri.

Bantuan itu melibatkan semua masyarakat Orang Asli tanpa mengira agama yang tinggal di semua 21 pos penempatan merangkumi jajahan ini, Kuala Krai dan Jeli.

Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, Othman Saufi berkata, setiap bakul makanan itu mengandungi 15 barangan dan kesemuanya dikumpulkan di masjid itu sebelum dibawa masuk ke kampung Orang Asli.

Antara barangan dalam bakul makanan ialah beras pulut, tepung gandum, gula, minyak dan biskut raya khusus untuk digunakan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Setiap tahun Maik mengagihkan bakul makanan kepada Orang Asli bagi memeriahkan sambutan Hari Raya mereka.

“Pengagihan dilakukan mulai kelmarin dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum 1 Syawal. Proses ini dibuat berperingkat kerana jarak perjalanan dari kampung ke kampung yang jauh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 11 agensi kerajaan akan membantu penghantaran bakul itu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Turut terlibat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Sementara itu, masyarakat Orang Asli menyifatkan sumbangan Maik adalah satu rahmat buat mereka memandangkan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini dilakukan secara ala kadar kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Betis, Rozi Asut berkata, dia mewakili masyarakatnya mengucapkan terima kasih kepada Maik yang tidak pernah melupakan mereka setiap kali dilanda musibah atau bencana. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: