Selasa, 11 Mei 2021

Awas! Sindiket curi nombor PIN, kata laluan guna aplikasi MyBNM palsu

scam
SCAMMER meminta mangsa memuat turun aplikasi MyBNM yang palsu bertujuan mencuri data peribadi mangsa.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sindiket jenayah menggunakan aplikasi MyBNM palsu yang telah merekodkan 57 kes dan mangsa kerugian RM1.7 juta tahun ini.

Sebanyak 53 kes dilaporkan dengan kerugian hampir RM2 juta bagi kes yang dilaporkan tahun lalu melibatkan penipuan penggunaan aplikasi yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh Bank Negara Malaysia pada November 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata polis telah mengesan sindiket penipuan yang menjadikan aplikasi itu sebagai subjek untuk menipu mangsa dengan menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasa.

“Mangsa dalam kes-kes sebegini akan dihubung ioleh suspek yang akan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguat kuasa termasuk BNM. Mangsa akan diminta memuat turun aplikasi MyBNM yang palsu.

BERITA BERKAITAN Buku skrip menipu mangsa antara dirampas dari sindiket scam

“Melalui aplikasi tersebut mangsa akan diminta memasukkan maklumat seperti nama, nombor kad ATM, nombor pin ATM, nama pengguna dan kata laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, setelah maklumat itu diperoleh, sindiket akan membuat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga atau ‘keldai akaun’.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan menitikberatkan langkah-langkah keselamatan.

Tiada ulasan: