Selasa, 11 Mei 2021

1,333 kena patah balik, ada tunjuk pas kerja tapi hala kampung

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa surat kebenaran rentas daerah pemandu serta penumpang kenderaan semasa bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Plaza Tol Bukit Raja Lebuh Raya NKVE, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MUFTI pernah bersuara, apatah lagi pakar kesihatan dan pimpinan kerajaan.

Namun, masih ramai rupanya yang mencuba nasib untuk pulang ke kampung di sebalik larangan rentas daerah bagi mengekang pengularan COVID-19.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 1,333 kenderaan yang cuba merentas negeri di seluruh negara telah diarahkan berpatah balik semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pelbagai helah dilakukan golongan berkenaan.

Abd Rahim Jaafar ketika meninjau SJR di Tanjung Lumpur, Kuantan.

Katanya, ini termasuk melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan borang kebenaran yang tidak mempunyai tandatangan dan cap daripada pihak polis.

Selain itu, tegas beliau, ada yang menggunakan pas kerja untuk melepasi sekatan polis sedangkan mereka hendak pulang ke kampung untuk beraya selain tidak mempunyai surat kebenaran polis.

“Mereka ini ada yang mencuba nasib, mungkin mereka rasa ada anggota polis yang akan terlepas pandang dan sebagainya,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau SJR di Tanjung Lumpur, Kuantan yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Abd Rahim Jaafar ketika meninjau SJR di Tanjung Lumpur, 
Kuantan./ Gambar FB KDNKA PDRM

Beliau berkata, sebanyak 361 SJR telah dilaksanakan susulan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis bermula hari ini membabitkan lebih 6,500 anggota pasukan itu di seluruh negara.

Ditanya mengenai tindakan individu yang membakar penghadang dan kawat duri yang didirikan oleh pihak polis berikutan berang laluan tikus itu ditutup, beliau berkata semua pihak harus mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Ada yang tidak puas hati dan ambil tindakan sendiri jadi saya seru kepada mereka sila patuhi undang-undang, langkah berkenaan diambil semata-mata untuk memutuskan rantaian COVID-19, penduduk diminta bersabar,” katanya.

Media hari ini melaporkan akibat terlalu marah laluan tikus ditutup, segelintir penduduk di Besut, Terengganu bertindak liar dengan membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis pada Ahad.

Tiada ulasan: