Isnin, 24 Mei 2021

90% penduduk Kuantan terlibat PKPD, tiada kompromi pengingkar SOP

Sekatan jalan raya akan dilaksanakan di enam lokasi laluan utama keluar 
masuk ke daerah itu termasuk di Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, 
Gambang dan laluan Pekan-Kuantan. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Seramai 207,967 orang atau 90% daripada penduduk daerah ini terlibat dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim yang berkuat kuasa tengah malam tadi untuk tempoh dua minggu.

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata sepanjang PKPD, polis menutup sepenuhnya laluan tikus ke Kuantan menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri termasuk di laluan kelapa sawit di Felda Neram yang merupakan laluan dari Terengganu.

Sekatan jalan raya pula akan dilaksanakan di enam lokasi laluan utama keluar masuk ke daerah itu termasuk di Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, Gambang dan laluan Pekan-Kuantan.

“Tindakan kompaun akan dilakukan secara automatik kepada mereka yang melepasi sempadan tanpa kebenaran dengan tiada sebarang kompromi atau belas kasihan kerana pemakluman PKPD sudah dihebahkan selain peningkatan kes yang mendadak di Kuantan.

Selain penghadang dan kawat duri, pasukan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) akan melakukan pemantauan berkala di laluan tikus bagi memastikan tiada cubaan keluar masuk kawasan PKPD,” katanya.

Untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Kuantan, Abd Jalil berkata cuti pegawai dan anggota khususnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan masih dibekukan walaupun Bukit Aman sudah membenarkan kelulusan cuti, seminggu selepas raya.

Selain itu, kira-kira 60 pegawai dan anggota dari IPK Pahang “dipinjamkan” ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sepanjang PKPD memandangkan pihak berkuasa memerlukan kekuatan 300 tenaga kerja setiap hari bagi pelbagai penugasan berkaitan pematuhan SOP.

Pegawai dan anggota polis adalah yang paling ramai ditugaskan, selain pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, pihak berkuasa tempatan, kakitangan pejabat kesihatan dan sebagainya.

“Masyarakat mungkin memandang ringan penugasan sekatan jalan raya, sedangkan pegawai dan anggota terlibat perlu berdiri dua jam untuk memeriksa setiap kenderaan sebelum digantikan, dengan setiap syif selama lapan jam. Jadi, saya merayu orang ramai untuk membantu kami dengan patuh kepada SOP,” katanya.

Selain penduduk Kuantan, Abd Jalil juga mengingatkan supaya penduduk di lima kawasan perumahan di Gau, Temerloh yang turut dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi, untuk tidak meninggalkan rumah sebelum perintah itu berkuat kuasa, mengambil iktibar daripada pengalaman PKPD di Taman Tanah Putih Baru di sini.

Taman Tanah Putih Baru dikenakan PKPD pada 5 Mei lepas dan pihak berkuasa mendapati hampir 200 penduduk di situ “menghilangkan diri” sehingga kerajaan negeri terpaksa meminta mereka pulang bagi menjalani ujian saringan yang dilakukan secara percuma.

Untuk kali ini, katanya, polis tiada kompromi dan mereka yang dikesan meninggalkan rumah kerana mahu mengelak PKPD akan dikenakan kompaun, walaupun mereka ini balik menyerah diri kepada polis, berbanding dengan hanya amaran seperti kepada penduduk Taman Tanah Putih Baru.

Tiada ulasan: