Sabtu, 15 Mei 2021

54 diuji, 35 positif, Kg Paya Teh Jerantut dikena PKPD

ismail
ISMAIL SABRI YAAKOB

TIGA lagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan dua daripadanya di Pahang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satunya ialah Kampung Paya Teh, Jerantut.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 54 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Satu lagi kawasan dikenakan PKPD di Pahang ialah PKPD Seri Kemunting, Kuantan yang berkuat kuasa dari 17 hingga 30 Mei.

Sehingga kini katanya, KKM telah melaksanakan 62 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 16 daripadanya disahkan positif COVID-19.

PKPD ketiga yang turut bermula dari tarikh berkenaan ialah di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah.

“Sehingga 15 Mei 2021, sebanyak 17 kes positif telah dikesan hasil daripada ujian saringan dilakukan oleh KKM ke atas 34 individu di lokaliti tersebut,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, kata beliau, seramai 551 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan semalam.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 519 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (124), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (101) dan tiada penjarakan fizikal (92).

“Turut diambil tindakan kesalahan tidak memakai pelitup muka (80), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (3) dan lain-lain (151),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 59,827 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Tiada ulasan: