Sabtu, 15 Mei 2021

Diarah berhenti main, polis pula dilontar mercun

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai./ Gambar fail dari FB IPD Sentul 2 Mac lalu.

EMPAT lagi individu terdiri daripada remaja belasan tahun ditahan susulan kes melontar mercun ke arah polis yang meminta mereka menghentikan aktiviti bermain mercun.

Kejadian tersebut berlaku Khamis lalu di Pangsapuri Sri Perak, ibu negara.

Berikutan itu, lapan individu ditahan setakat ini dengan terbaru empat lagi ditahan semalam.

Kesemua suspek yang terdiri daripada pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam serbuan di pangsapuri berkenaan pada 10 malam semalam hingga 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Beh Eng Lai berkata, hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu dengan ada antara mereka menyalakan dan membaling mercun bola ke arah anggota polis.

Beliau berkata, mereka mengaku membaling mercun berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis yang menghentikan aktiviti bermain mercun di kawasan berkenaan.

“Kesemua suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Eng Lai berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas dalam isu berkenaan kerana kejadian sedemikian boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai atau kebakaran jika tidak ditangani.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti membakar mercun kerana ia adalah perbuatan yang dilarang,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan empat individu bagi siasatan kes membakar mercun yang dilarang dan melontarnya ke arah anggota polis dalam kejadian di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul.

Tiada ulasan: