PUTRAJAYA: Peningkatan kes Covid-19 menyaksikan buat julung kali, sejumlah 28 lokaliti di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula lusa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara yang terlibat ialah 15 mukim dalam Daerah Besut, Terengganu susulan kemunculan banyak kluster aktif dengan sembilan daripada 17 kluster di negeri itu melibatkan daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Ia meliputi Kampung Raja, Keluang, Lubuh Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Kerandang, Tembila, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.
“Turut dikenakan arahan sama adalah untuk tempoh yang serupa ialah di Rumah Banjir Kuala Teh, Daerah Jerantut dan Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak ketinggalan dikenakan PKPD jelas Ismail Sabri, ialah empat mukim di empat daerah yang berbeza di Perak antaranya iaitu Mukim Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama selain Mukim Pengkalan Hulu, Daerah Hulu Perak; Mukim Hulu Kinta (meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan), Daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur, Daerah Muallim.
PKPD turut dilaksanakan di lima lokaliti di Sabah iaitu Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau serta Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya, Kunak.
Sementara itu kata beliau, di Kelantan pula, hanya sebuah lokaliti dikenakan PKPD iaitu di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Jajahan Tumpat ekoran peningkatan kes ketara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di tujuh lokaliti di Sempalit, Daerah Raub, Pahang yang dijadualkan tamat esok, namun dilanjutkan lagi sehingga 4 Jun depan membabitkan kawasan Kampung Baru Sempalit, Taman Sempalit Aman, Taman Emas Baru, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Jaya, Taman Sempalit Baru dan Taman Emas.
Beliau menambah, turut disambung PKPD sehingga tarikh yang sama berbanding sepatutnya akan berakhir esok ialah 16 lokaliti di Sungai Ruan, dalam daerah serupa di negeri tersebut meliputi Taman Dahlia, Taman Cempaka, Taman Orkid, Taman Mawar, Taman Melor, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Matahari, Taman Mawar Impian, Taman Melewar.
Selain itu ialah, Taman Bunga Raya, Taman Koperasi Mewah, Taman Bunga Tanjung, Rumah Murah Sungai Ruan, Taman Sungai Ruan, Taman Bunga Angsana dan Kampung Baru Sungai Ruan.
Tidak ketinggalan dilanjutkan PKPD selama 14 hari lagi yang bermula esok kata beliau ialah di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat, Sabah. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan