Jumaat, 21 Mei 2021

Hilang MyKad, jangan buat laporan polis palsu- Polis Selangor

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
ARJUNAIDI MOHAMED

SHAH ALAM: Polis Selangor mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu berhubung kehilangan MyKad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, peringatan itu susulan berlaku peningkatan kes berhubung perkara tersebut iaitu 108 laporan palsu bagi tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding 60 laporan pada tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 86 kes telah dituduh di mahkamah dan 82 pula masih lagi dalam siasatan.

“Berdasarkan siasatan, penyebab utama laporan palsu dibuat adalah kerana denda yang dikenakan bagi setiap kehilangan MyKad sekiranya berpunca daripada kecuaian.

“Bagaimanapun, pengecualian denda diberikan terhadap kes-kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut.

“Oleh demikian, terdapat segelintir orang ramai yang tampil membuat laporan palsu semata-mata untuk mengelakkan dikenakan denda dan sering mengaitkan kehilangan MyKad dengan menjadi mangsa jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tambah Arjunaidi, oleh demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu demi kepentingan peribadi.

“Kesahihan atau kebenaran sesuatu laporan polis akan diketahui selepas siasatan terperinci dilakukan dan daripadanya akan diketahui laporan itu benar atau sebaliknya.

“Mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: