Tuesday, March 2, 2021

Tular video lelaki dipukul di jalan raya

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
TANGKAP layar video tular seorang penunggang motosikal dipukul di jalan raya sekitar pusat perniagaan Cukai di Kemaman, petang semalam.

KEMAMAN: Tular video seorang penunggang motosikal yang didakwa dipukul dua individu di jalan raya sekitar pusat perniagaan Cukai, di sini semalam.

Rakaman video berdurasi 29 saat itu memaparkan pemuda berkenaan dipukul dua lelaki yang dipercayai menaiki kereta jenis Perodua Viva.

Insiden yang menggemparkan itu sempat dirakamkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Walaupun ada dalam kalangan orang awam cuba meleraikan pergaduhan tersebut, namun tidak diendahkan dua lelaki berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan kejadian itu berpunca gara-gara berebut seorang wanita dan sebelum kejadian, tiga individu berkenaan dikatakan berjumpa serta berbincang mengenai masalah mereka.

Bagaimanapun, tindakan penunggang motosikal itu terlanggar cermin sisi kereta milik salah seorang individu tersebut menyebabkan dia naik berang dan bertindak memukul pemuda berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian. – UTUSAN ONLINE

No comments: