Monday, March 29, 2021

Rakyat marhaen langgar SOP terus dikompaun, tapi kayangan?

ainulillia

‘Tolong bertindak adil supaya kami tak rasa ada sikap pilih kasih’

BANGI – Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dianggap seperti ‘double standard’. 

Rakyat marhaen melihat orang kenamaan serta figura publik yang sering muncul di paparan media massa dan media sosial ‘terlepas’ daripada sebarang kompaun dan hukuman oleh pihak berkuasa, sedangkan rakyat biasa dikenakan tindakan serta-merta.

Laporan demi laporan dibuat namun tiada perkembangan baharu dilaporkan mengenai tindakan yang dikenakan pada pelanggar SOP ini.

Senario ini sudah tentu tidak dapat mengelakkan daripada timbulnya persepsi negatif, baik pada pihak yang melanggar SOP COVID-19 serta pihak yang sepatutnya menguatkuasakan tindakan tegas terhadap kesalahan tersebut.

Terbaru, majlis pernikahan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor menjadi perbualan hangat apabila para tetamunya didakwa melanggar SOP kerana tiada penjarakan fizikal ketika proses akad nilah berlangsung.

Berdasarkan gambar dan video yang tular di media sosial, dapat dilihat para tetamu duduk dengan rapat dan terdapat di kalangan mereka tidak memakai pelitup muka.

“Tak cemburu dengan mereka sebab kahwin mewah ke apa. Cuma rasa tak adil. Sebab orang miskin, rakyat biasa mudah saja polis saman. Orang biasa ini mana la datang duit, entah ada yang nak dapat RM1,000 itu pun makan masa sebulan dua.

“Tak minta banyak pun. Minta adil sahaja, supaya orang biasa macam kami ini tak rasa ada pilih kasih,” kata pengguna Facebook, Diyana Balqis. 

Sementara seorang lagi pengguna Facebook, Khai Icha pula mengimbau laporan berita di mana seorang perempuan yang serta merta didenda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar dari keretanya.

“Teringat kes akak yang keluar dari kereta belum sempat pakai mask dah kena saman RM1,000. Sekali kes pakcik-pakcik dekat masjid yang berkumpul tu, kena jugak seorang seorang, Allah kesian.

“Ini gambar video dah ada tapi masih siasatan. Ya Allah betullah tiada hukum yang adil di dunia ni, selain di akhirat nanti,” katanya.

MoHaikal Salah pula berkata “Benarlah.. undang-undang itu hanya untuk marhaen. Marhaen ‘terus dikompaun’, kayangan “kita akan jalankan siasatan terperinci”. MySejahtera ada kan. Jejak sahaja lah dalam itu siapa yang hadir. Ops lupa, kayangan,” katanya.

Selain majlis pernikahan Neelofa, warga maya turut memetik pelanggaran SOP pada Konvensyen Biasa DAP Perak ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC), 13 Mac lalu.

Konvensyen yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan itu dilaporkan sedang disiasat pihak polis, tetapi sehingga kini tiada perkembangan terbaharu berkenaan kes tersebut.

“Ahli-ahli DAP bila nak kutip. Minggu lepas bergaduh berasak dalam dewan. Masa perhimpunan DAP tak ikot SOP. Tak kena kutip ke wahai polis…,” kata pengguna Facebook, Charr Roll.

Untuk rekod, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22A Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Katanya, polis seramai 1,731 orang dan ia kurang daripada kapasiti maksimum dewan IICC iaitu 4,500 orang.

Beliau berkata, PDRM Perak juga sedang menganalisa video dan foto-foto yang diperolehi bagi mengenal pasti individu-individu serta kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan pelanggaran SOP, terutama semasa insiden kekecohan dan konvensyen berlangsung.

No comments: