Port Dickson: Panorama indah sepanjang jalan di Bandar Springhill, di sini, yang dihiasi bunga tekoma memberikan satu suasana baru seolah-olah di negara empat musim khususnya di Jepun.
Menurut seorang penduduk, Siti Hasmah Mat Rawi, 24, kawasan taman itu meriah dengan bunga tekoma sejak seminggu lalu.
Menurutnya, suasana waktu pagi sangat mendamaikan apabila bunga luruh dan memenuhi jalan raya umpama hamparan permaidani berwarna-warni.
"Hari ini saya ambil kesempatan untuk merakam gambar kenangan sebab saya difahamkan musim bunga tekoma ini tidak lama dan tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang depan mata.
"Mungkin musim bunga ini hanya bertahan sekitar dua minggu sahaja sebelum layu dan luruh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, kawasan ini mula meriah dengan bunga tekoma berwarna merah jambu dan putih, sekali gus menjadikan kawasan keseluruhan taman nampak meriah.
"Fenomena musim bunga itu lazimnya di laporkan berada di Alor Setar, Kedah jadi bila nampak depan mata saya teruja untuk menikmatinya malah saya tengok ramai pemandu kereta berhenti untuk bergambar.
"Musim bunga ini juga secara tidak langsung menceriakan kawasan ini ibarat berada di Jepun," katanya.
No comments:
Post a Comment