Tuesday, March 2, 2021

Nur Sajat jangan ingat boleh terlepas

Oleh ZAAIN ZIN
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman (Nur Sajat) semasa hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 13 Oktober 2019. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

KOTA BHARU: Usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau popular disapa Nur Sajat diingatkan bahawa dia tidak kebal daripada  tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan termasuk Nur Sajat tidak akan terlepas daripada hukuman mengikut undang-undang.

“Tiada yang kebal daripada tindakan undang-undang. Proses mahkamah perlu berhemah, mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan.

“Tidak bermakna bahawa individu yang enggan hadir ke mahkamah itu kebal undang-undang, proses pengadilannya sedang dijalankan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir ke Program Bantuan Mangsa Kebakaran, Tabung Musaadah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – Yayasan Waqaf Malaysia (Jakim-YWM) di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Pada  majlis itu, tiga beradik iaitu Khairuzaman Mohd. Nor, 39; Fakhru Razi, 36, dan adik bongsu mereka yang buta kedua-dua belah matanya, Mohd. Yazid, 30, menerima bantuan  RM50,000 untuk membina semula rumah pusaka keluarga yang terbakar, awal bulan ini.

Akhbar semalam melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memburu Nur Sajat selepas waran tangkap kepadanya dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa lalu.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Nursajat Beauticion, Seksyen 16 di sini pada pukul 7.30 malam, 23 Februari tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, Nur Sajat tidak hadir ke mahkamah mungkin kerana dia mempunyai alasan yang boleh diterima.

“Sekiranya, memerlukan satu tindakan lain, itu terpulang kepada pihak mahkamah.

“Perlu diingatkan bahawa negara ini ditegakkan dengan prinsip rule of law. Tidak ada yang akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.- UTUSAN

No comments: