Bernama
Wan
Khadijah bersama ahli keluarga semasa menyambut Aidilfitri tahun
lepas
di rumahnya di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas. - foto bernama.com
PASIR MAS:
Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di Kampung Pohon Celagi di sini,
kini hanya tinggal kenangan buat pemiliknya, Wan Khadijah Wan Ibrahim
apabila rumah itu roboh menyembah bumi, Rabu lepas.
Wanita
berusia 77 tahun itu merupakan pemilik kediaman pertama yang musnah
dalam kejadian tebing runtuh di Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air
Muleh dekat kampung berkenaan.
"Rumah
nenek boleh dikatakan tempat kelahiran keluarga nenek daripada arwah
mak, kelima-lima anak malah cucu-cucu turut membesar di rumah pusaka
ini. Sejak dilahirkan, nenek membesar di sini namun benda sudah berlaku
jadi kita reda dengan ketentuan Allah.
"Sekarang
hanya tinggal kenangan sebab hampir 80 peratus rumah termasuk ruang
tamu dan dapur musnah dengan banyak perabot rosak," katanya ketika
ditemui Bernama di kampung tersebut, semalam.
Bercerita
lanjut, Wan Khadijah yang menetap bersama anak perempuan sulungnya yang
berusia 59 tahun berkata rumahnya runtuh kira-kira 9.30 pagi, pada hari
kejadian.
Beliau menyedari kediamannya
berdepan bahaya selepas terdengar bunyi dentuman kuat apabila benteng
sungai yang terletak hampir 50 meter di kawasan tanah rendah dari
rumahnya itu runtuh kira-kira 5.30 pagi.
"Masa
itu, kami bangun bersiap untuk solat Subuh dan tiba-tiba terdengar
bunyi dentuman kuat dekat kawasan tebing sungai. Kemudian, kami nampak
benteng sungai dekat kawasan di bawah rumah sudah runtuh.
"Selepas
itu, kami bertindak keluar dari rumah, terus menuju ke rumah jiran
berdekatan dan menumpang sementara sebab bimbang keselamatan kami.
"Alhamdulillah
nenek dan anak terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini,"
katanya yang kini menetap sementara di rumah anak keempatnya di Kampung
Kubang Panjang Lemal, di sini.
Ditanya
mengenai bantuan yang diperlukannya, Wan Khadijah berharap pihak
kerajaan dapat memberi sumbangan sewajarnya kepada penduduk yang
terjejas selain menyelesaikan perkara itu secepat mungkin termasuk
penyelesaian jangka panjang supaya kejadian sama tidak berulang.
Pada
Rabu, media melaporkan sebanyak empat rumah musnah susulan kejadian
tebing runtuh di kampung berkenaan dan kesemua 45 keluarga merangkumi 98
penduduk yang mendiami kawasan berkenaan telah dipindahkan ke kawasan
yang selamat.
Sementara itu, seorang lagi
penduduk kampung, Suziyatul Akma Zakaria, 37, pula berharap pihak
berkaitan mempertimbang untuk menyediakan penempatan sementara yang
lebih selesa kepada penduduk yang terjejas.
"Sememangnya
pihak berkuasa telah menyediakan pusat pemindahan sementara di Dewan
Serbaguna dekat pekan Pasir Mas tetapi ramai penduduk tidak duduk di
situ sebab keadaan yang kurang selesa malah turut bimbang dengan
pandemik COVID-19.
"Jadi, kebanyakan
penduduk menyewa sementara rumah dan ada yang menumpang di rumah
saudara-mara sebab lebih selesa serta mudah menguruskan hal peribadi
termasuk anak-anak yang menjalani kelas secara dalam talian dan
sebagainya," katanya yang masih tinggal bersama lima ahli keluarganya di
rumah yang terletak kurang 100 meter dari kawasan tebing sungai
berkenaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment