Bernama
WAN
ROSDY: Mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk
di tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut. -Bernama
KUANTAN:
Mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk di
tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut kerana
perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Besar
Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau
berkata, semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan
negeri, dengan mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu
membuat permohonan kepada agensi berkaitan, sebelum memperoleh
kelulusan, jika pemohon memenuhi syarat ditetapkan.
Bagi
memastikan aktiviti perlombongan berjalan lancar, teratur dan mematuhi
undang-undang, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri telah
mempertimbangkan cadangan melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK),
khusus bagi aktiviti yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke
bawah.
"SPK
yang dijangka berkuatkuasa pada Jun, akan diselaraskan oleh Pahang
Mining Corporation Sdn Bhd (PMC), dengan tujuan memudah cara dan
membantu penduduk melakukan aktiviti perlombongan secara sah, selain
memastikan tiada ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram.
"Antara
tanggungjawab PMC ialah mengenal pasti tanah milik individu yang
berpotensi di lombong atau pemilik tanah sendiri boleh membuat
permohonan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
Program Imunisasi COVID-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad
Shah di sini, pada Jumaat.
Pada program
itu, Wan Rosdy menjadi individu pertama di Pahang yang menerima suntikan
vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech, diikuti 115 barisan petugas barisan
hadapan negeri itu.
Turut hadir
Setiausaha Kerajaan negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak,
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah dan Pengarah
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.
Wan
Rosdy mengulas dakwaan penduduk di beberapa kampung di Mukim Kechau,
Lipis kira-kira 237 kilometer sini, diibaratkan seperti tinggal di
'perkampungan emas' kerana tanah kawasan rumah mereka dikatakan
mempunyai logam tersebut, dalam jumlah yang banyak.
Mengulas
lanjut mengenai SPK, Wan Rosdy berkata pelaksanaan skim itu membolehkan
aktiviti perlombongan dilakukan secara berkelompok, dengan
menggabungkan tanah-tanah milik bersebelahan sekali gus menjadikan kos
pengendalian lebih rendah menerusi perkongsian antara pemilik.
"Operasi
perlombongan juga akan menjadi lebih teratur menerusi SPK.
Bagaimanapun, mereka yang diberi kelulusan perlu terus mematuhi
peraturan kerana pemantauan tetap dilaksanakan, bagi mengelakkan
kejadian tidak diingini seperti pencemaran yang akan menyusahkan lebih
ramai orang," katanya.
Sebagai contoh,
Wan Rosdy berkata sebanyak 16 serbuan dan sitaan telah dijalankan dalam
tempoh kurang sebulan, iaitu bermula 3 Feb hingga 24 Feb , dengan 14 kes
melibatkan daerah Lipis dan bakinya di Raub, yang menyaksikan 15
jentera, 16 pam air dan masing-masing sebuah enjin air dan generator
dirampas.
Ini melibatkan kesalahan di
bawah Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, dengan majoriti kesalahan
ialah melombong emas tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri, selain ada
yang dikatakan menyebabkan pencemaran air.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment