KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari 'sugar daddy'.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada IPTA berkenaan selain laporan daripada orang ramai.
"Pada masa ini JSJ berhubung dengan pengurusan IPTA berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti tidak bermoral itu berkemungkinan wujud dalam kalangan penuntut mereka.
"Pihak polis turut mengalu-alukan IPT awam atau swasta untuk tampil membuat laporan polis jika mempunyai maklumat atau tampil kepada JSJ Bukit Aman," katanya kepada BH, hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.
Huzir berkata, untuk peringkat awal, JSJ Bukit Aman mengarahkan Bahagian (D3) Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan ini.
"Kami di JSJ memulakan siasatan sendiri menerusi aplikasi laman web suai kenal yang dinyatakan iaitu 'Sugar Book' untuk mengenalpasti aktiviti sebenar yang berkemungkinan menjurus kepada aktiviti pelacuran.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata, pihak polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.
No comments:
Post a Comment