Alor Setar: Sepuluh rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sorok Korok, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Bagaimanapun, semua penghuni dilaporkan selamat dalam kebakaran jam 3.40 petang itu.
Seorang penghuni, Nazri Hamzah, 40, berkata ketika duduk di hadapan rumah, dia terdengar letupan kuat di rumah jiran sebelum ternampak api menyambar beberapa rumah.
"Saya hanya sempat membawa keluar peti sejuk dan sebahagian wang tunai yang disimpan dalam rumah.
"Hanya dalam tempoh 20 minit, habis sebahagian rumah musnah dalam kebakaran ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 3.43 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan dibantu BBP Alor Setar tiba di lokasi 3.50 petang.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Alor Mengkudu, Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Kuala Kedah.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api daripada merebak dan setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dilakukan untuk pastikan kemampuan bahaya kebakaran untuk merebak," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain.
Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi memaklumkan jalan di kawasan itu sempit dan jentera tangki air tidak boleh memasuki laluan berkenaan.
Beliau berkata, pemadaman api menggunakan sumber air terbuka (sungai) menggunakan pam angkut dan dari tangki jentera.
"Faktor api merebak dengan cepat adalah disebabkan angin dan kesemua rumah ini adalah dari kelas B iaitu separa batu dan kayu, malah kedudukan rumah pada jarak rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.
"Operasi disertai 11 anggota dari BBP Jalan Raja dan dibantu 15 anggota BBP Alor Setar serta 12 pegawai dari JBPM Kedah," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, pemadaman masih dilakukan dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan.
No comments:
Post a Comment