KUALA LUMPUR – Penganjur program kebun bandar yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa semalam memaklumkan telah dihubungi pihak polis.
Ia susulan isu tular tiada penjarakan fizikal ketika jamuan makan yang menjadi perhatian ramai di media sosial.
Pengerusi Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah, Zainuddin Amran pada masa sama turut memohon maaf kerana kegagalan memastikan SOP.
Bukan sahaja kepada umum, Zainuddin ketika dihubungi Malaysiakini turut memohon maaf kepada Annuar setelah menjemput beliau ke tapak projek komuniti mereka.
“Saya bagi pihak masyarakat di sini meminta minta maaf kepada Tan Sri (Annuar) dan rakyat Malaysia. Kita akui itu kelemahan kita.
“Bila Tan Sri datang kita jemput dia minum di pondok kebun pertanian dalam bandar kita, itu pun sekejap saja.
“Tan Sri dah ingatkan (gambar tak patuh SOP) nanti akan tular, sebab itu dia cepat-cepat berlalu,” kata penganjur program kebun bandar itu.
Annuar semalam sekali lagi menjadi perhatian netizen berhubung isu pematuhan SOP susulan gambarnya di meja makan yang disediakan penganjur.
Beliau didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas gambarnya bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tersebar di media sosial.
Foto itu memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke majlis program pertanian bandar bertarikh semalam.
Berdasarkan SOP semasa, makan bersama dibenarkan, tetapi terhad kepada dua orang bagi setiap meja serta dengan jarak satu meter.
Menyedari hal tersebut tular, Annuar dalam Facebook miliknya semalam menjalaskan yang beliau hanya duuduk sebentar sebaik menyedari penganjur tidak mengikut SOP.
“Tadi semasa di ladang,saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.
“Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah,tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada tersinggung.
“Walau bagaimanapun saya teruja dengan kegigihan komuniti jayakan pertanian bandar kita. Hidangan di ladang, nampak gambar macam dalam restoran.
“Walau di kebun dan outdoor, elok amalkan penjarakan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment