Sunday, February 14, 2021

6 amalan yang boleh dilakukan untuk si mati

Saban hari kita kerap mendengar kematian menjemput seseorang. Sama ada meninggal kerana penyakit, kemalangan, dibunuh atau sebagainya. Jika sudah tertulis ajalnya maka tiada siapa yang dapat menghalang dan menahannya walau sesaat. Itulah janji Allah, yang hidup pasti akan merasai mati.

Pun begitu bagi kita yang masih hidup, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan bagi membantu meringankan azab yang ditanggung oleh mereka yang sudah meninggal antaranya:

  • Anak soleh yang berdoa untuk kedua ibu bapanya sebagaimana hadis dari Abu Qatadah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda,

Di antara salah satu perkara yang dianggap sebaik-baik peninggalan seseorang sesudah matinya ialah: anak yang soleh yang sentiasa berdoa dan beristighfar untuknya…” – HR Ibnu Majah, dan at-Tirmizi

  • Doa kebajikan orang lain untuknya. Dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

Barang siapa yang didatangi seseorang memohon sesuatu, hendaklah dipenuhi hajatnya. Jika kamu tidak mampu hendaklah kamu doakan kebajikan untuknya….” – al-Baihaqi.

  • Doa mukmin ke atas si mati. Ketika kematian Abu Salamah, Rasulullah s.a.w. telah mendoakannya,

Ya Allah, ampunkan Abu Salamah dan tinggikan darjatnya di kalangan orang-orang yang telah mendapat petunjuk. Jadikanlah anak-anaknya akan mengambil tempatnya.” – HR Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi

  • Solat Jenazah. Dari Ibnu Abbas bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

Tidak ada seorang Muslim yang mati jenazahnya disolatkan oleh 40 orang, melainkan Allah memberi syafaat ke atas rohnya disebabkan ramainya jumlah orang bersolat…” – HR Muslim, Ibnu Majah dan al-Baihaqi

  • Doa selepas dikebumikan mayat. Saidina Usman r.a memberitahu bahawa menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w., apabila selesai mengebumikan jenazah lalu Baginda berdiri di tepi kubur dan bersabda,

Pohonlah ampun kepada saudara kamu dan pohonlah ke atasnya agar ditetapkan imannya. Sesungguhnya sekarang ia sedang ditanya..” -HR Abu Daud dan al-Baihaqi

  • Menjelaskan hutang si mati. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesungguhnya roh orang mukmin itu akan tergantung dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutangnya dijelaskan.” – HR Bukhari dan Tirmizi

No comments: