Mangsa terima mesej Whatsapp daripada rakan yang ternampak status di FB
ALOR SETAR – Seorang pelajar kolej swasta membuat laporan polis selepas mendapati gambarnya dimuat naik dalam aplikasi kontroversi, Sugarbook.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan pelajar berusia 18 tahun itu, semalam.
Beliau berkata, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada rakan yang ternampak status dimuat naik di Facebook (FB) memaparkan beberapa akaun dan gambar aplikasi berkenaan.
“Salah satu gambar iaitu wanita bertudung adalah gambarnya yang pernah dimuat naik di Instagram miliknya.
“Laporan polis dibuat untuk menafikan dia mempunyai akaun di aplikasi berkenaan dan bimbang gambar disalah gunakan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Ahmad Shukri berkata, kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Aplikasi Sugarbook didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.
Menerusi pendedahan media baru-baru ini, amat mengejutkan apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.
Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.
No comments:
Post a Comment