Turut pantau kualiti, cara penyampaian pengajaran guru-guru
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memantau kualiti dan membantu guru yang terlibat dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi saluran DidikTV KPM, yang merupakan saluran khusus TV pendidikan secara terestrial.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata kementerian boleh melatih dan membimbing guru terlibat untuk menambah baik bukan sahaja dari segi kualiti kandungan tetapi penyampaian di kaca televisyen.
“Jadi bagi saya, semua pihak termasuk kementerian boleh ambil pengajaran di sini. Bagaimana kita boleh menentukan kualiti PdP yang disampaikan melalui saluran itu. Kita perlu mempunyai kawalan kualiti (QC) yang lebih ketat dan melakukan saringan terhadap video atau program yang akan disiarkan melalui televisyen itu.
“Secara peribadi, saya rasa demi pelajar, guru sangat berani untuk muncul di hadapan kamera,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di KPM di sini.
Beliau mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan seorang guru mengajar subjek Sains di saluran itu yang dikritik kerana penyampaiannya. Saluran itu yang kali pertama diperkenalkan, mula bersiaran semalam, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Habibah berkata hasrat KPM untuk mengadakan DidikTV ini adalah satu inisiatif yang murni untuk menjangkau semua pelajar apabila terdapat banyak cabaran sepanjang pandemik COVID-19 serta jurang pemilikan peranti dan akses kepada internet.
“Kami tahu 36 peratus pelajar tidak memiliki sebarang peranti. Tapi kita lihat dari segi peratusan isi rumah yang ada televisyen adalah lebih 97 peratus. Jadi program televisyen ini adalah salah satu cara mendekati kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Habibah berkata KPM juga sedang berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai pembukaan semula sekolah kepada pelajar bukan kelas peperiksaan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum dimuktamadkan lagi.
Katanya, KPM mengambil kira cabaran yang dihadapi semua pihak apabila melakukan PdP di rumah kerana keadaan atau pengalaman itu tidak sama seperti hadir ke sekolah secara bersemuka. – Bernama
No comments:
Post a Comment