Friday, February 19, 2021

Ikut jejak Ebit Lew, bagi makan percuma

JOHOR BAHRU: Menjadikan pendakwah, Ebit Lew sebagai idola mencetuskan minat Siti Nazirah Norzri untuk membuat kerja amal dengan memberi makanan percuma kepada insan yang memerlukan.

Berbeza individu lain memberi sumbangan menerusi wang ringgit, pemilik Ateyh Fried Chicken, Siti Nazirah, 24 lebih selesa memberi makanan kepada golongan susah yang datang ke kedainya.

Katanya, menjalankan perniagaan makanan berasaskan ayam goreng dan nasi lemak bersama suami, Mohammad Atif Wan Kamal, 27, beliau bertekad terus memberi bantuan kepada individu yang susah di premisnya.

"Selagi kedai ini beroperasi, saya akan memberi makanan secara percuma kepada orang susah.

"Saya tidak mampu beri wang bagi bantu mereka, tetapi Insya-Allah saya boleh mengenyangkan perut mereka yang kelaparan," katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak dua tahun lalu bermula dari sebuah gerai di Larkin.

Siti Nazirah berkata, semuanya bermula selepas kejadian baru-baru ini, iaitu dua hari selepas kedai baru di Taman Nong Chik di sini, dibuka.

Katanya, ketika itu, beliau sedang mencuci pinggan di belakang kedai sebelum menutup operasi, didatangi lelaki warga asing berusia 30an meminta nasi.

"Pada jam 11 malam kedai kami baru beroperasi dua hari, ada lelaki warga Indonesia datang meminta nasi dua bungkus untuk dirinya dan anak kerana kelaparan. Lelaki itu memberitahu dia berjalan kaki dari Skudai.

"Ketika itu yang tinggal hanya sedikit nasi lemak dan beberapa ketul ayam. Saya terus bungkuskan dan beri kepada lelaki berkenaan.

"Lelaki itu kehilangan kerja di pasar kerana had operasi dipendekkan dan tidak mempunyai pekerjaan untuk mendapatkan wang serta memberi makanan.

Membuat persediaan membungkus makanan untuk golongan memerlukan. Foto Omar Ahmad
Membuat persediaan membungkus makanan untuk golongan 
memerlukan. Foto Omar Ahmad

"Dari situ, saya dan suami terus mengambil inisiatif memberi makanan percuma orang susah. Mereka tidak perlu malu, datang sahaja dan minta nasi di kaunter," katanya ketika ditemui di Taman Nong Chik, di sini.

Dalam tempoh sehari akan ada beberapa orang yang datang meminta nasi percuma.

Katanya, tanpa melihat pakaian jenis apa atau kenderaan dinaiki mereka, nasi akan diberikan tanpa banyak soalan.

"Ada mereka malu masuk ke kedai. Kami memang tidak menyediakan makanan percuma yang siap dibungkus kerana bimbang nasi akan basi dan sejuk.

"Kami melayan mereka sama seperti pelanggan lain, beri makanan panas dan berkualiti. Mereka boleh makan di kedai ini atau bawa pulang.

"Sejak enam hari beroperasi di sini, dalam sehari terdapat lima atau enam individu mengambil makanan percuma. Biasanya mereka memilih datang pada waktu tengahari atau malam sebelum kedai ditutup pada jam 11 malam," katanya yang turut menjual ayam goreng RM1.

Siti Nazirah berkata, pihaknya juga memberi makanan kepada gelandangan setiap Jumaat sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, beri lima ketul ayam percuma kepada wanita mengandung dan 10 ketul ayam percuma kepada pelanggan pada hari lahir mereka.

"Ada ibu mengandung beli makanan di sini, mereka tidak perasan iklan ayam percuma. Jadi saya akan tambahkan dalam pesanan dan beritahu mereka.

"Kesemua usaha ini sebenarnya bukan untuk mencari popular tetapi mencari keredaan. Kami pernah susah dahulu, pernah rasa susahnya nak cari makanan.

"Hati saya rasa tenang bila dapat membantu orang, dapat beri mereka makan. Saya nak beri duit pun tidak mampu, tetapi kalau makanan saya boleh beri," katanya menjual 100 kilogram ayam sehari.

No comments: