Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Seorang lelaki maut selepas dipukul dengan sebatang besi oleh rakannya dipercayai akibat salah faham dalam pergaduhan di sebuah rumah di Jalan Kota Sarang Semut, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa berusia 30-an itu meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian itu disebabkan suspek berang apabila si mati yang juga rakannya itu mengejeknya.
"Kejadian berlaku pada 8.05 pagi Selasa lalu dan polis menerima maklumat selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung pergaduhan itu.
"Suspek berusia 30-an ditahan kira-kira satu jam selepas kejadian," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Selatan, di sini, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, batang besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, si mati dan suspek sedang menjalani perintah sekatan di atas kesalahan jenayah.
"Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah kerana dipukul oleh objek tumpul di bahagian kepala," katanya.
Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine.
Kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman bermula 17 Februari hingga 20 Februari ini.
No comments:
Post a Comment