Bernama
Peperiksaan
awam dijadual berlangsung dari 22 Feb hingga 25 Mac, bermula
dengan SPM
dan SVM, diikuti STPM, SKM, STAM dan DVM, melibatkan 401,105
calon. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tidak perlu gusar kerana
format peperiksaan awam SPM kekal sama dan tidak boleh diubah
sewenang-wenangnya.
Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali
berkata ini kerana standard sijil SPM yang dikeluarkan telah diiktiraf
pakar tempatan dan antarabangsa.
"Kurikulum
dan standard soalan masih sama justeru tidak akan berlaku perubahan
format dan jika berlaku sekalipun, ia perlu mengambil masa yang lama
iaitu minimum tiga tahun dan boleh mencecah sehingga lima tahun kerana
perlukan kajian.
"Sijil SPM ini bertaraf
antarabangsa kerana itu ia tidak boleh diubah sewenang-wenangnya... jika
tidak, sijil kita tidak laku, anak-anak tidak boleh sambung belajar di
luar negara dan tidak boleh mendapatkan biasiswa termasuk sukar untuk
mendapat pekerjaan," katanya.
Beliau
berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Peperiksaan Awam
Tahun 2020 Dalam Norma Baharu' terbitan Bernama TV di sini malam tadi.
Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum ini menegaskan format peperiksaan
SPM 2020 kekal seperti sedia ada sekali gus menafikan laporan sebuah
akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan itu pada masa akan datang.
Pkharuddin
juga berkata sekiranya terdapat calon yang didapati positif COVID-19
atau yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat,
mereka tidak akan dibenar menduduki peperiksaan.
"Dalam
garis panduan kita jelas menyatakan dua kumpulan calon ini tidak boleh
menduduki peperiksaan namun selepas mereka disahkan berada dalam keadaan
sihat oleh doktor yang merawat dengan surat pengesahan doktor, maka
mereka layak untuk menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan
semula," katanya.
Peperiksaan utama iaitu
SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dijadualkan bermula pada 22 Feb
ini diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran
Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma
Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020, serta peperiksaan antarabangsa
yang setara tahun lepas.
Peperiksaan awam ini akan berlangsung sehingga 25 Mac melibatkan 401,105 calon.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment