Tuesday, February 16, 2021

28 insiden maut babitkan peralatan elektrik tahun lalu

Madiha Abdullah
28 insiden maut babitkan peralatan elektrik tahun lalu
Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap penyalahgunaan 
atau pemalsuan label SIRIM-ST. - Gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga mendedahkan sejak lima tahun kebelakangan ini, jumlah kemalangan membabitkan peralatan elektrik adalah sekitar 52 kes setiap tahun.
 
Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 45 kes dilaporkan termasuk 28 insiden yang menyebabkan kematian.
 
Atas sebab itu, SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, Suruhanjaya Tenaga (ST), Persatuan Pengedar Peralatan Elektrik Malaysia (MEADA) dan Gabungan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia (FOMEDA) telah bekerjasama dalam satu kempen kesedaran keselamatan untuk mengekang penjualan produk elektrik dan elektronik (E&E) yang tidak diperakui.
 
Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna dan pemain industri mengenai kepentingan label SIRIM-ST pada peralatan E&E.
 
"Pengguna mesti berwaspada dan hanya membeli peralatan elektrik yang diluluskan oleh SIRIM-ST.
 
"Ini untuk mencegah insiden seperti kebakaran yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian. 
Label SIRIM-ST menjamin bahawa produk tersebut selamat untuk digunakan," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, dalam ucapan perasmian kempen secara maya, pada Isnin.
 
Kempen tiga bulan itu akan berjalan sehingga Mei, dengan video kempen tersebut sudah mula dimainkan di pelbagai platform media sosial bermula Isnin.
 
Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap penyalahgunaan atau pemalsuan label SIRIM-ST oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 
Pengguna boleh memeriksa sama ada produk yang dibeli dalam talian atau di kedai diperakui oleh SIRIM dengan memasukkan butiran produk dalam aplikasi mudah alih percuma, SIRIM QAS.

No comments: