Hanya beroperasi tiga kali seminggu kaburi mata pihak berkuasa
LUMUT– Walaupun pernah diserbu antara empat hingga tujuh kali sebelum ini, pengusaha empat premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen tidak pernah serik meneruskan operasi haram itu.
Justeru, empat premis berkenaan di sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar, dekat sini, iaitu dua kedai runcit, sebuah kedai telefon dan sebuah kedai makan hari ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati kesemua ejen judi tersebut hanya beroperasi di premis berkenaan sebanyak tiga kali seminggu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Mereka menjalankan aktiviti haram ini sebagai sumber pendapatan tambahan. Mereka ini menerima komisen 17 peratus setiap pertaruhan dengan pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah kedai runcit di Taman Sitiawan Maju, di sini.
Beliau berkata, sejak bulan lalu, sebanyak 38 serbuan dilakukan dan enam premis sudah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah Manjung.
Katanya, pihaknya turut mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis berkenaan sekiranya masih berdegil menjalankan aktiviti perjudian haram. -Bernama
No comments:
Post a Comment