Makanan dihurung lalat, najis tikus dan bangkai kucing ditemui di dalam kawasan kilang
NIBONG TEBAL – Serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses fucuk yang disyaki beroperasi dalam persekitaran yang kotor membongkar kewujudan tiga lagi kilang memproses bahan sama dalam situasi serupa, di perkarangan bersebelahan bekas kandang khinzir di Sungai Bakap, Sungai Jawi di sini hari ini.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan ke atas keempat-empat kilang fucuk itu mendapati berlaku pelanggaran Akta Makanan 1983 membabitkan aspek kebersihan dan juga pakaian pekerja.
Antara kesalahan yang dilakukan ialah pekerja tidak memakai sarung tangan ketika memproses makanan, berseluar pendek, makanan dihurung lalat, anjing berkeliaran di kawasan memproses makanan, selain turut ditemukan najis tikus serta bangkai kucing di dalam kawasan kilang.
“Kesemua kilang ini beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan. Ada yang telah beroperasi selama 40 tahun manakala yang paling baharu telah beroperasi selama lapan tahun. Tempat ini pernah beroperasi untuk ternakan khinzir dan keadaan ini amat mendukacitakan kerana persekitaran amat kotor dan kita tidak tahu sama ada tempat itu telah dibersihkan atau disanitasi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama tiga minggu dengan sangkaan hanya sebuah kilang beroperasi di situ.
Mohd Wazir berkata, susulan pemeriksaan itu, pihaknya mengeluarkan empat notis kompaun terhadap kesemua kilang terbabit dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM8,500 berserta amaran keras supaya mereka menambah baik aspek kebersihan.
Difahamkan, tiada arahan henti operasi dikeluarkan memandangkan pelanggaran aspek kebersihan oleh premis terbabit masih di bawah tahap yang membolehkan pihak berwajib berbuat demikian.
Bagaimanapun, Mohd Wazir meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan kesemua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.
Difahamkan, kilang terbabit membekalkan fucuk ke kedai runcit di sekitar negeri ini dan juga Kedah. -Bernama
No comments:
Post a Comment