Bernama
DidikTV
KPM yang akan bermula 17 Feb ini, boleh ditonton menerusi saluran
107
di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula 7
pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM sedikit
sebanyak membantu menyelesaikan beban dan permasalahan dalam pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Presiden
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof
Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini termasuk isu kekangan
peralatan peranti elektronik dan capaian Internet yang dihadapi pelajar
terutama di luar bandar.
"Meskipun
ia agak lambat dilaksanakan yang sepatutnya lebih awal lagi, namun
akhirnya ia nanti boleh dimanfaatkan oleh rakyat sebagai bantuan kepada
PdPR dan pendidikan secara menyeluruh.
"Perancangan
untuk Perdana Menteri menyempurnakan pelancaran saluran itu pada hari
pertama siarannya juga menunjukkan satu petanda bahawa negara begitu
prihatin terhadap pendidikan," katanya dalam panggilan video secara
langsung di Buletin Bernama, yang disiarkan Bernama TV di sini hari ini.
Beliau
berkata dengan adanya DidikTV KPM, pendidikan yang berkualiti dan
bermutu tinggi dapat dicapai oleh semua rakyat negara ini, tanpa
berlakunya keciciran terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan
pedalaman.
Namun
katanya, penggunaan saluran pendidikan sebagai medium sokongan
pembelajaran tidak seharusnya hanya ketika negara berhadapan pandemik,
tetapi untuk jangka masa panjang, sebagaimana negara luar.
"Selepas
pandemik COVID-19 ini berlalu, kita boleh manfaatkan sebaik-baiknya
DidikTV KPM ini sepertimana TV pendidikan di United Kingdom, Amerika
Syarikat, German, Jepun dan Korea...patut kita contohi dan manfaatkan
sebaik mungkin," katanya.
Dalam masa
sama, Mohamad Ali turut menyarankan kerajaan menerusi Kementerian
Pendidikan agar mengkaji dan memperhalusi kembali kerelevanan DidikTV
KPM disiarkan sehingga lewat malam.
"Kenapa
perlu menyalurkan siaran sampai pukul 12 tengah malam? Saya kira
anak-anak perlu berehat... seharusnya sampai pukul 10 malam sudah
mencukupi.
"Dalam masa sama, penjadualan
perlu diperhalusi dan pertindihan patut dielakkan dengan mengambil
perhatian terhadap pemasalahan yang dihadapi keluarga yang mempunyai
ramai anak yang perlu belajar, maka ia perlu diambil kira dalam jadual
itu," katanya.
DidikTV KPM yang akan
bermula 17 Feb ini, boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran
147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula 7 pagi hingga 12
tengah malam setiap hari.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment