Bernama
Masidi berkata kebenaran itu selaras dengan pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
KOTA KINABALU: Semua masjid dan surau di Sabah dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula hari ini.
Menteri
Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata
kebenaran itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Bagaimanapun
beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada satu pertiga kapasiti
dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan
fizikal, sementara aktiviti lain di masjid dan surau seperti kuliah
Maghrib serta solat sunat Duha juga dibenarkan dan tidak melebihi satu
jam pada setiap sesi.
"Kelas agama juga
dibenarkan tetapi tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta
tidak lebih daripada 20 orang dengan pematuhan prosedur operasi standard
(SOP) yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan.
Masidi
yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata, majlis akad nikah juga
dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak
lebih 20 orang pada satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP.
Jamuan
dengan makanan dan minuman yang dibungkus turut dibenarkan manakala had
umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10
tahun ke atas, katanya.
Masidi berkata
aktiviti dan program keagamaan di rumah ibadat bukan Islam turut
dibenarkan tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan sembahyang
utama, dengan pematuhan SOP ditetapkan, antaranya merekodkan kehadiran
penganut menggunakan aplikasi MySejahtera, Sabahtraces atau mencatat
kehadiran dalam buku log yang disediakan.
Selain
itu penyediaan kaunter di pintu masuk dewan untuk pemeriksaan suhu
badan, dan memastikan pergerakan masuk ke dalam dewan mengikut giliran,
memakai pelitup muka sepanjang masa, dan kerap membersihkan tangan
dengan cecair pembasmi kuman, katanya.
Beliau
berkata penganut tidak dibenarkan berkumpul di kawasan lapang rumah
ibadat termasuklah bersalaman, berpelukan dan mengadakan aktiviti
berjadual di dalam dan di luar rumah ibadat seperti kelas keagamaan dan
kebudayaan.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment