Wednesday, January 20, 2021

Undang-undang tak kira siapa!

Mohd Amin Jalil

Mohamad Mat Yusop (tengah) membuat pemeriksaan terhadap pemandu dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Seremban-Labu, hari ini. FOTO / Mohd Amin Jalil.

Seremban: Polis mengesahkan pembabitan lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan kerana disyaki menyimpan daging haiwan dilindungi di Empangan Talang, Kuala Pilah di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kegiatan mereka yang terbabit.

"Saya tak ada komen banyak, tapi saya boleh sahkan mengenai kegiatan mereka itu kerana kita ada menerima laporan daripada PERHILITAN.

"Setakat ini tindakan (penguatkuasaan) terhadap mereka membabitkan pihak PERHILITAN," katanya di lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Seremban-Labu, di sini, tadi.

Media semalam melaporkan, seorang pegawai polis berpangkat inspektor bersama tujuh anggota (FRU) dari Cawangan FRU di sini, ditahan PERHILITAN kerana disyaki menyimpan daging haiwan dilindungi di Empangan Talang, Kuala Pilah.

Mereka yang berusia antara 33 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu selepas pemeriksaan dilakukan penguat kuasa PERHILITAN.

Dalam pemeriksaan itu, PERHILITAN turut merampas kenderaan digunakan kumpulan terbabit, kampit plastik berisi daging berkenaan, tong dan satu gugusan kunci kenderaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tindakan mereka itu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang PERHILITAN kerana ia membabitkan binatang yang dilindungi.

Beliau menasihatkan anggota pasukan itu serta orang awam supaya tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

No comments: