Wednesday, January 20, 2021

Bumbung dapur 'ghaib'

Nazri Abu Bakar

Asnan Dollah menunjukkan atap rumahnya yang hilang akibat ribut di kampung Ulu   Seraja, Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Melaka: "Bumbung dapur kediaman kami `ghaib' entah ke mana selepas ribut melanda kampung ini," ujar Asnan Dollah, 45 yang menetap di Kampung Ulu Seraja, Durian Tunggal di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi kelmarin, ribut dan hujan lebat yang berlaku mendadak merosakkan kediaman dihuni mangsa.

Bagaimanapun kemiskinan dialami menyebabkan dia tidak mampu membaik pulih bahagian bumbung kediaman itu sehingga kini.

Katanya, bencana berlaku ketika itu dia bersama isteri, Siti Rohida Abd Latif, 33 dan enam anaknya berusia antara lima bulan hingga 12 tahun berada di dapur menikmati sarapan.

"Saya dan keluarga sempat lari ke bahagian hadapan kediaman untuk menyelamatkan diri sebaik menyedari ribut yang melanda. Walaupun ribut itu berlaku kira-kira 10 minit, namun ia amat mencemaskan.

"Apapun saya bersyukur apabila anak-anak yang masih kecil dan isteri selamat. Rumah kami pernah rosak akibat ribut sebanyak tiga kali sebelum ini.

"Ini adalah ujian Allah SWT. Saya amat berterima kasih dengan bantuan penduduk kampung yang berusaha untuk membantu membaiki atap rumah saya," katanya semalam.

Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk kampung berkenaan Ali Nordin Suboh berkata, penduduk amat bersimpati dengan nasib menimpa keluarga itu.

Beliau berkata, ribut itu hanya merosakkan rumah mangsa manakala kediaman penduduk lain terselamat.

No comments: