Saturday, January 2, 2021

Johor Bahru dilanda banjir, hujan lebat hampir 12 jam

Oleh Mohamed Farid Noh
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir yang sakit di Kampung Pasir, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/ZAIN AHMED
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir yang sakit di Kampung Pasir, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/ZAIN AHMED

JOHOR BAHRU: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini, petang tadi, selepas hujan lebat hampir 12 jam menyebabkan air sungai melimpah sehingga membanjiri penempatan penduduk.

PPS pertama dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 kira-kira jam 3.30 petang, apabila limpahan air Sungai Skudai menenggelami Kampung Laut hingga mencecah 0.60 meter.

Banjir menenggelami penempatan penduduk selepas Johor Bahru dilanda hujan lebat hampir 12 jam, hari ini. - NSTP/ZAIN AHMED
Banjir menenggelami penempatan penduduk selepas Johor 
Bahru dilanda hujan lebat hampir 12 jam, hari ini. - NSTP/
ZAIN AHMED

Setakat lewat petang tadi, 26 penduduk termasuk seorang bayi, telah dipindahkan ke PPS itu.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PKO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, sebuah lagi PPS pula dibuka di Kampung Pasir kira-kira jam 6.20 petang.

Ia berikutan air Sungai Perling melimpah dan membanjiri kediaman penduduk hingga ke paras pinggang.

Tujuh penduduk dari Jalan Sukun, Kampung Pasir, ditempatkan di PPS Bukit Pasir, manakala seorang lagi mangsa banjir berpindah sementara ke rumah warisnya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dalam satu kenyataan pula memaklumkan empat laluan di Kluang dinaiki air susulan hujan lebat, hari ini.

Laluan terbabit ialah Jalan Kluang-Mersing (kawasan berhadapan dengan pasar raya Econsave), Jalan Mengkibol-Rengam, Jalan Batu-Mersing serta Jalan Kluang-Mersing (berhampiran Pertubuhan Peladang Johor, Kahang)

No comments: