Sunday, October 4, 2020

Langgar SOP, lebih 400 ditahan, termasuk 126 hadir kelab malam

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, 76 pendatang tanpa izin dan 
seorang penyeludup turut diberkas menerusi Operasi Benteng semalam..

PETALING JAYA: Memasuki hari ke-201 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), polis menahan 433 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan dan gagal mematuhi SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu, termasuk mereka yang menyertai aktiviti kelab malam.

“Daripada jumlah itu, 345 individu dikompaun, 60 direman dan 28 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk tidak memakai pelitup muka (157), aktiviti dalam pub/kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (1),” katanya dalam kenyataan.

Ismail turut memaklumkan, 76 PATI dan seorang penyeludup diberkas menerusi Operasi Benteng semalam.

“Daripada jumlah itu, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor,” katanya.

No comments: